PERSATUAN SEJARAH JELEBU

Thursday, April 20, 2006

DANAU SISIK EMAS

DANAU SISIK EMAS

Di Pinggir Kampung Sawah Raja, Kota, Negeri Sembilan, terdapat satu tempat bernama Danau Sisik Emas. Menurut ceritanya suatu ketika dahulu kawasan tersebut merupakan sebuah danau yang cantik. Airnya jernih dan banyak ikan berkeliaran di dalamnya. Apabila ada pertabalan undang luak Rembau maka Danau Sisik Emas menjadi tumpuan orang ramai. Mereka mengadakan pesta keramaian di tempat tersebut untuk menyambut kedatangan Datuk Undang. Tetapi kini Danau Sisik Emas terbiar dan tidak lagi dipedulikan. Kawasan tersebut telah tumpat dan ditumbuhi semak samun.
Suatu ketika dulu, di sebelah atas Danau Sisik Emas terdapat sebuah kampung bernama Kampung Pelebar. Kerana sesuatu sebab maka Kampung tersebut telah ditinggalkan dan kini cuma tinggal kesan sahaja. Manakala di seberang danau tersebut terdapat sebuah kampung bernama Kampung Sawah raja. Asal kampung itu bernama Sewar Raja iaitu tempat raja mengutip cukai. Menurut ceritanya, cukai di kutip daripada perahu-perahu yang melalui Sungai Rembau yang terdapat di sebelah Danau Sisik Emas.
Pada 8 Februari 1973 Kampung Sawah Raja pernah menggemparkan negara kerana berlakunya peristiwa berdarah yang mengorbankan 9 orang termasuk 3 anggota polis. Kisah yang menyayat hati itu berlaku apabila seorang lelaki iaitu penduduk tempatan bernama Idrus bin Hassan, 67 tahun, yang juga dikenali sebagai Idrus Harimau telah mengamuk dan membunuh penduduk kampung tersebut termasuk anggota polis.
Mungkinkah kejadian tersebut ada kaitannya Dengan Danau Sisik Emas?. Menurut siasatan pihak Polis, Idrus mengamuk kerana permatang sawahnya di robohkan oleh jirannya. Kedudukan sawah milik Idrus berhampiran dengan Danau Sisik Emas. Ada pula yang mengatakan Idrus menuntut ilmu kebatinan dan pernah bertapa di Danau Sisik Emas. Namun cerita yang sebenar kenapa Idrus sanggup mengamuk dengan menggunakan senapang patahnya hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.
Berbalik kepada kisah Danau Sisik Emas, menurut ceritanya suatu ketika dahulu ada seorang lelaki bernama Pidano yang berasal dari Minangkabau Sumatera Barat. Dia juga seperti kebanyakan lelaki bangsa Minangkabau, bila sudah dewasa akan keluar dari kampung untuk mencuba nasib di rantau orang. Salah satu tempat yang menjadi pilihan mereka ialah Tanah Melayu.
Setelah lama berjalan akhirnya Pidano sampai di kampung Sawah Raja. Pidano tertarik hati dengan keindahan Danau Sisik Emas yang airnya jernih dan sentiasa berombak. Di dalam danau itu kelihatan ikan-ikan berenang di permukaan air. Lalu Pidano mengambil keputusan untuk menetap di situ. Dia mendirikan sebuah pondok berhampiran dengan Danau Sisik Emas.
Untuk menampung kehidupannya, setiap hari Pidano mengail ikan di Danau Sisik Emas dengan menggunakan sampan. Hasil dari tangkapan ikan tersebut ditukar dengan beras dan garam dari penduduk kampung tersebut. Pidano juga dikatakan seorang pemuda yang lurus dan baik hati. Dia hanya menukarkan ikan hasil tangkapannya dengan secupak beras dan sejemput garam sahaja. iaitu sekadar cukup untuk makanannya pada hari tersebut. Dan esoknya dia akan mengail ikan lagi dan menukarnya lagi dengan secupak beras dan sejemput garam. Walaupun hasil tangkapannya banyak dia tetap menukarkan ikannya dengan secupak beras dan sejemput garam. Sikap Pidano ini menyukakan hati penduduk kampung tersebut.
Danau Sisik Emas dikatakan mempunyai penunggu yang terdiri dari makhluk halus. Penunggu danau itu berasa marah kerana banyak ikan di danau itu dapat dikail oleh Pidano. Pada suatu hari sedang Pidano memancing ikan mata kailnya tersangkut pada sesuatu. Dengan perlahan-lahan Pidano menarik mata kailnya ke atas dan alangkah terkejutnya Pidano bila mendapati mata kailnya tersangkut pada rantai emas.
Pidano dapati rantai emas itu panjang dan tidak putus-putus bila di tarik naik ke dalam perahunya. Maka ketika itu timbul rasa tamak di hati Pidano. Dia ingin cepat kaya dengn penemuan harta karun tersebut. Pidano terus menarik rantai emas sehingga perahunya sarat.
Apa yang sedang dilakukan oleh Pidano di lihat oleh seorang budak lelaki yang sedang berdiri di tepi danau tersebut. Budak itu menyuruh Pidano mengerat rantai emas itu dengan menjeritkan perkataan " Kerat kerat kerat". Namun tidak dipedulikan oleh Pidano. Malah dia semakin tamak dan terus menarik rantai emas itu ke dalam perahunya. Apabila perahu itu berlebih muatan akhirnya karam.
Pidano cuba berenang ke tebing tasik itu namun tidak berdaya. Malah Pidano berasa seperti ada sesuatu yang menariknya ke bawah. Akhirnya dia mati lemas. Penduduk kampung mencari mayat Pidano lalu dinaikkan ke darat dan dikebumikan.
Sejak peristiwa itu penduduk kampung tidak berani memancing ikan di danau tersebut. Ini menyebabkan ikan semakin banyak dan membesar sehingga air danau itu nampak berkilauan akibat sisik-sisik ikan yang berkeliaran dipermukaannya. Apabila hari hampir senja ketika sinar matahari kemerahan di kaki langit maka permukaan tasik itu nampak berkilauan seperti emas lalu mereka namakan Danau Sisik Emas.
Menurut ceritanya lagi, suatu ketika dahulu di tepi danau itu terdapat pinggan mangkuk kepunyaan makhluk halus yang menjaga danau tersebut. Apabila penduduk kampung hendak mengadakan majlis kenduri mereka boleh meminjam pnggan mangkuk itu melalui perantaraan seorang bomoh. Kononnya bomoh itu akan membakar kemenyan di tepi danau lalu menyeru makhluk halus memohon pinjam barang kepunyaannya.
Namun akhirnya makhluk halus itu tidak membenarkan lagi barang-barangnya diambil kerana banyak yang tidak dpulangkan semula oleh peminjam ditempat asalnya. Mana-mana pinggan mangkuk yang pecah tidak diganti. Kerana itu sampai sekarang penduduk kampung tidak dapat meminjam lagi.

Tuesday, February 21, 2006

ASAL USUL NAMA REMBAU

REMBAU merupakan sebuah daerah di Negeri Sembilan yang banyak menyimpan sejarah kedatangan orang-orang Minangkabau di Negeri Sembilan. Malah Rembau menjadi tempat berkumpulnya orang-orang Minangkabau untuk memulakan penghidupan baru di tanah melayu.

Nama Rembau diambil dari nama sejenis pokok yang bernama Merbau. Kisah bermula apabila sekumpulan orang asli terjumpa sebatang pokok Merbau yang amat besar dan tinggi menjulang. Pokok tersebut tumbuh di kaki Gunung Datok. Adapun Gunung Datok itu banyak menyimpan kisah sejarah dan kini orang ramai suka mendakinya sebagai salah satu aktiviti mendaki gunung.

Nama Rembau bermula dari peristiwa sekumpulan orang-orang asli yang diketuai oleh Batin Sekudai hendak membuat penempatan baru dikaki Gunung Datok. Semasa membuat kerja menebas dan menebang dalam usaha membersihkan kawasan tersebut mereka terjumpa sebatang pokok yang amat besar dan tinggi menjulang. Setelah bebincang akhirnya mereka membuat keputusan menebang pokok Merbau itu kerana kawasan tersebut hendak dijadikan tempat kediaman. Mereka bimbang pokok yang besar itu akan membahayakan keselamatan mereka.

Maka mereka pun menebang pokok Merbau tersebut secara bergilir-gilir dengan menggunakan kapak dan beliung. Mereka berkerja siang dan malam selama tujuh hari tujuh malam. Tetapi apa yang menghairankan mereka ialah pokok tersebut masih juga tidak mahu tumbang.

Setelah genap tujuh hari tujuh malam mereka berusaha untuk menumbangkan pokok Merbau tersebut tetapi masih tidak berjaya, akhirnya mereka mengadukan perkara itu kepada seorang Bomoh yang paling handal di kalangan mereka. Dan setelah bomoh itu melihat pokok tersebut maka bomoh itu menyuruh orang-orang asli itu mendaki Gunung Datok hingga sampai ke kemuncak. Kemudian mereka hendaklah meminta izin dari penunggu Gunung tersebut untuk menebang pokok Merbau tua itu.

Esoknya beberapa orang asli mendaki Gunung Datok dengan membawa pelbagai persembahan untuk diberikan kepada penunggu yang dipercayai berada di puncak gunung tersebut. Setelah sampai di puncak Gunung Datuk, mereka pun menyeru nama penunggu gunung itu sambil meminta kebenaran untuk menebang pokok Merbau tua yang tumbuh di kaki gunung itu. Setelah selesai mereka pun pulang ke rumah masing-masing.

Pada malamnya turunlah hujan lebat bersama ribut kencang. Dan pada keesokan paginya mereka beramai-ramai keluar dari rumah masing-masing menuju ke pokok Merbau tua itu untuk meneruskan kerja penebangan.

Tetapi alangkah terperanjatnya mereka bila melihat pokok Merbau tua yang amat besar dan tinggi itu sudah pun tumbang menyembah bumi. Mereka amat hairan melihat pangkal pokok yang begitu besar dan untuk mengukur lebarnya mereka duduk bersila di perdu pokok itu. Kabarnya setelah 40 orang duduk bersila barulah penuh pangkal pokok Merbau yang ditebang itu.

Mereka menjamu selera sambil bersuka ria menandakan sudah berjaya menumbangkan pokok yang paling besar itu. Sebahagian dari mereka menyusuri batang pokok itu untuk mencari pucuknya. Kabarnya pucuk pokok Merbau yang tumbang itu sampai ke sebuah sungai lalu Sungai itu dinamakan Sungai Ujung.

Dan kawasan pangkal pokok itu mereka namakan Kampung Merbau Tua. Untuk meringkaskan sebutan mereka sebut " Kampung Merbau" sahaja dan akhirnya bertukar menjadi Rembau sahaja. Menurut ceritanya, sekumpulan orang-orang Minangkabau yang datang dari Pagar Ruyung Sumatera Barat telah datang ke Rembau dengan tujuan mengembangkan agama Islam di samping berniaga.

Oleh kerana orang-orang asli disitu menyambut kedatangan mereka dengan baik lalu mereka mengambil keputusan untuk menetap di situ malah ramai yang berkahwin dengan penduduk tempatan. Datok Lela Balang iaitu ketua orang-orang Minangkabau telah membuka sebuah penempatan baru berhampiran kampung Merbau Tua dan kampung yang baru dibuka itu dinamakan kampung kota. Kampung tersebut masih ada hingga sekarang.

Adik Datok Lela Balang pula membuka sebuah penempatan lagi lalu dinamakan Kampung Padang Lekuk. Sejak itu semakin ramailah orang-orang Minangkabau datang ke Rembau dan orang-orang asli pula meninggalkan tempat itu untuk membuat penempatan baru.


Menurut ceritanya lagi, Raja Melewar dari Pagar Ruyung Minangkabau datang ke Negeri Sembilan melalui Sungai Rembau lalu bersemayam di Kampung Penajis, tidak jauh dari Kampung Kota. Kemudian baginda mendirikan sebuah istana lalu dinamakan Kampung Istana Raja.

Apabila istana itu terbakar maka didirikan sebuah istana baru di Seri Menanti. Dan hingga sekarang Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilkan bersemayam di Istana Besar Seri Menanti.
Adapun nama-nama kampung seperti kampung Kota, kampung Penajis, kampung Istana Raja dan kampung Sawah Raja masih kekal namanya sehingga sekarang.

Wednesday, June 01, 2005

ASAL USUL ADAT PERPATIH

Menurut sejarahnya, Adat Perpatih berasal dari Pagar Ruyung Minangkabau, Sumatera Barat, Indonesia. Di namakan Adat Perpatih sempena nama orang yang menyusun dan membuat peraturan adat tersebut. Adat Perpatih di bawa ke Negeri Sembilan oleh orang-orang Minangkabau yang merantau ke Tanah Melayu.

Menurut ceritanya, beratus tahun dahulu di Negeri Padang Luas, Pagar Ruyung Minangkabau ada dua orang adik beradik yang seibu tetapi berlainan bapa. Yang tua bernama Temenggong atau Datok Temenggong dan adiknya bernama Perpatih atau Datok Perpatih. Apabila keduanya sudah dewasa maka mereka pun merwarisi pemerintahan negeri Padang Luas.

Walaupun mereka adik beradik tetapi berbeza pendapat terutama dalam cara pemerintahan. Kerana perbezaan pendapat itu menyebabkan selalu terjadi perbalahan antara Datok Temenggong dengan adiknya Datok Perpatih. Untuk mengelak terjadinya pergaduhan maka negeri Padang Luas terpaksa di bahagi kepada dua pemerintahan. Datok Temengong memerintah di bahagian pesisir pantai manakala Datok Perpatih berkuasa di bahagian daratan. Dengan itu kawasan pemerintahan Datok Temenggong memakai adat yang disusun oleh Datok Temenggong (Adat Temenggong) manakala kawasan Datok Perpatih memakai adat yang di susun oleh Datok Perpatih ( Adat Perpatih.)

Antara Adat Temenggong dengan Adat Perpatih terdapat perbezaan terutama dalam soal pembahagian harta pusaka. Bagi Adat Temenggong, lelaki lebih banyak mendapat bahagia harta pusaka daripada perempuan manakala Adat Perpatih pula menyerahkan segala harta pusaka kepada anak perempuan.

Pada suatu hari anjing Datok Perpatih telah menggigit kaki Datok Temenggong. Akibatnya anjing itu telah dipukul oleh Datuk Temenggong sehingga mati. Ini menimbulkan kemarahan Datok Perpatih. Dia segera berjumpa Datok Temenggong.

"Bukankah peraturan dalam adat temenggong mengatakan , siapa menggigit dia kena gigit?" tanya Datok Perpatih kepada Datok Temenggong. Dia sebenarnya merujuk kepada adat Temenggong yang mengatakan sesiapa yang menggigit mesti dibalas dengan gigit juga.

"Memang benar!" jawab Datok Temenggong.

" Kenapa bila anjing menggigit kaki awak pukul sampai mati?. Sepatutnya bila anjing itu menggigit kaki awak maka awak gigit pula kaki anjing itu," balas Datok Perpatih.

Mendengar kata-kata itu, Datok Temenggong merasa marah lalu berlakulah cabar mencabar antara kedua-duanya. Untuk mengelakkan sengketa itu berpanjangan maka keduanya bersetuju meninggalkan negeri Padang Luas untuk membuka negeri baru.

Maka Datok Perpatih dan Datok Temenggong pun menyediakan bahtera masing-masing untuk belayar meninggalkan negeri Padang Luas. Konon ceritanya, bahtera Datok Temenggong selamat dilancarkan ke laut dan terus belayar. Manakala bahtera Datok Perpatih tidak mahu dilancarkan ke laut. Walupun rakyat jelata di suruh beramai-ramai menolak bahtera itu namun tidak juga dapat bergerak.

Pada malamnya Datok Perpatih bermimpi bahtera yang bernama "Geliong Panjang " itu tidak dapat dilancarkan kerana telah diduduki oleh "Jin Sakti Muno". Untuk melancarkannya maka terpaksalah digalangkan di bawah bahtera itu seorang perempuan yang mengandung sulung (bunting sulung).

Maka pada keesokan harinya Datuk Perpatih menyuruh orang-orangnya mencari perempuan yang bunting sulung. Setelah puas mencari diserata negeri Padang Luas itu maka akhirnya didapati hanya ada dua orang sahaja yang sedang bunting sulung iaitu anak Datok Perpatih sendiri dan anak saudaranya yaang bernama Puteri Seri Banun. Adapun Puteri Seri Banun seorang yang baik hati dan sanggup berkorban dengan menawarkan dirinya menjadi penggalang kepada bahtera bapa saudaranya.

Mengikut cerita selanjutnya, Puteri Seri Banun yang sedang bunting sulung itu pun di baringkan di bawah bahtera itu sebagai penggalangnya. Kemudian orang ramai menolak bahtera itu ke air. Tetapi dengan takdir Tuhan, ketika bahtera itu ditolak oleh orang ramai maka satu keajaipan berlaku dimana bahtera itu terangkat sendiri lalu masuk ke dalam laut. Ada yang percaya Jin Sakti Muno yang mengangkat dan menolak bahtera itu ke laut kerana syarat telah dipenuhi.. Dengan ini terselamatlah Puteri Seri Banun dari menjadi korban bahtera tersebut. Dan sebaik sahaja bahtera itu berjaya dilancarkan maka Seri banun pun melahirkan seorang anak lelaki lalu di beri nama Batin menggalang.

Setelah lama belayar akhirnya Datok Perpatih sampai ke Negeri Sembilan lalu mereka pun mencari kawasan yang sesuai untuk membuka negeri. Setelah perkampungan baru berjaya diwujudkan maka Datok Perpatih telah menyusun semula adat perpatih untuk disesuaikan dengan keadaan setempat. Antara peraturan baru yang diguna pakai oleh Adat Perpatih ialah segala harta pesaka hendaklah diserahkan kepada anak perempuan. Ini sebagai mengenang jasa Seri Banun yang sanggup menjadi penggalang bahtera Datok Perpatih.
berkorban untuk bapa saudaranya Datok Perpatih.

Di Negeri Sembilan terdapat 12 suku-suku atau keluarga.

Suku-suku tersebut seperti berikut:

Suku Biduanda (dondo)
Batu Hampar (Tompar)
Paya Kumbuh (Payo Kumboh)
Mungkal
Tiga Nenek
Seri Melenggang (Somolenggang)
Seri Lemak (Solomak)
Batu Belang
Tanah Datar
Anak Acheh
Anak Melaka
Tiga Batu

Ini dinyatakan dalam sebuah gurindam yang berbunyi:

Raja beralam
Penghulu berluak
Lembaga berlingkungan
Buapak beranak buah
Anak buah duduk bersuku-suku
Berapa sukunya?
Dua Belas!

Tuesday, February 15, 2005

ASAL NAMA JELEBU DAN SEJARAHNYA



Ke Jelebak ke Jelebu
Tuai padi tiga serangkai
Siapa kena kemat Jelebu
Kalau tak mati badai mengasai.

Suatu masa dahulu pantun empat kerat itu amat popular di kalangan orang-orang tua di Negeri Sembilan khususnya di Jelebu kerana ia menggambarkan betapa pandainya orang Jelebu memikat sesiapa yang berkenan di hatinya sehingga orang yang kena pikat itu tidak boleh melupakanya hingga ke akhir hayat.

Yang lucunya ada ibu bapa di luar kawasan Jelebu merasa takut kalau anak lelaki mereka pergi ke Jelebu kerana takut terkena "kemat Jelebu" tetapi kini pantun itu cuma menjadi senda gurauan anak-anak muda sahaja. Jelebu merupakan sebuah daerah di Negeri Sembilan yang bersempadan dengan Pahang. Ia terdiri dari lapan mukim iaitu Kuala Klawang,Hulu Klawang Klawang,Hulu Teriang,Kenaboi,Pertang, Peradong, Teriang Hilir dan Gelam Lemi.

Mengikut ceritanya, nama Jelebu berasal dari dua kisah yang diceritakan secara lisan sejak dari dahulu hingga ke hari ini. Kisah pertama, pada suatu hari, Tok Batin Jelbu iaitu ketua suku kaum asli yang mendiami kawasan sekitar Sungai Lumut, sedang berkerja di ladangnya. Setelah berasa penat dia mengajak isterinya berehat sambil melihat pokok labu yang mereka tanam tumbuh dengan suburnya. Apabila hari menjelang petang isterinya mengajak Tok Jelbu pulang ke rumah. Tetapi kata Tok Jelbu dia hendak mandi dahulu di Sungai Lumut.

" Kau baliklah dulu untuk sediakan makan malam kita," pesan Tok Jelbu kepada isterinya.

" Baiklah, bang. Tapi elok kalau abang berhati-hati mandi di sungai sebab airnya dalam. Cepat balaik ke rumah, ye bang…" balas isterinya sambil berjalan pulang.

Maka Tok batin Jelbu pun turun ke dalam Sungai Lumut untuk mandi dan membersihkan dirinya. Sedang dia asyik mandi tiba-tiba hujan turun dengan lebat diikuti dengan kilat sabung menyabung. Dan dengan tiba-tiba sahaja maka air Sungai Lumut itu pun pasang. Tok Batin Jelbu tidak sempat naik ke darat dan beliau dihanyutkan oleh air sungai yang deras itu.

Isteri Tok Batin Jelbu berasa risau kerana suaminya masih belum pulang ke rumah. Tambahan pula ketika itu hujan turun dengan lebatnya. Sebaik sahaja hujan reda maka isteri Tok Batin Jelbu segera pergi ke Sungai Lumut untuk mencari suaminya. Namun setelah puas dicari dan dipanggil namanya, Tok Batin Jelbu seolah telah hilang ghaib secara tiba-tiba.

Berita hilangnya Tok Batin Jelbu cepat merebak di kalangan orang-orang asli di kawasan tersebut dan mereka keluar beramai-ramai untuk mencari namun tidak berjaya ditemui. Akhirnya mereka yakin bahawa Tok Batin Jelbu mati lemas di Sungai Lumut dan mayatnya dibawa arus entah kemana. Dan Sebagai mengenang nama Tok Batin Jelbu maka tempat itu dinamakan Jelbu tetapi akhirnya bertukar menjadi Jelebu.

Kisah kedua pula ada kaitan dengan nama buah labu. Setelah Tok Batin Jelbu mati maka pokok labu yang ditanam di ladangnya tumbuh subur dan banyak mengeluarkan buah. Maka ramailah orang datang ke situ memungut buah labu tersebut. Mereka namakan tempat itu "Jalar Labu" tetapi akhirnya bertukar menjadi Jelebu.

Sejarah pembukaan Jelebu selalu dikaitkan dengan kedatangan orang-orang Minangkabau. Namun pada mulanya Jelebu didiami oleh kaum asli Jakun dari Suku Biduanda. Mereka merupakan penduduk asal Jelebu dan suku Biduanda masih ada hingga ke hari ini.

Kisah bermula apabila Batin Terjali iaitu anak Maharaja Alif yang memerintah kerajaan Pagar Ruyung Minangkabau, keluar mengembara untuk mencari pengalaman dan meluaskan pemerintahan ayah baginda. Setelah lama berjalan menyeberang laut dan sungai akhirnya Batin Terjali dan orang-orangnya sampai di Bukit Kundang Kundik di Jelebu. Kedatangan mereka disambut baik oleh orang-orang asli di kawasan tersebut.

Semasa berada di Jelebu, Puteri Embong Sari iaitu isteri Batin Terjali melahirkan seorang anak lelaki lalu diberi nama Datok Niko Menteri Mangku Alam Raja Sehari. Dan sebelum meninggalkan Jelebu untuk meneruskan pengembaraannya, Batin Terjali meninggalkan putera baginda kepada ketua suku orang asli Jelebu dengan pesanan bila puteranya sudah besar kelak hendaklah dijadikan penghulu Jelebu. Ketua orang asli itu bersetuju dan berjanji akan patuh dengan apa yang telah diperintahkan.

Adapun Batin Terjali terus mengembara untuk membuka negeri dan di setiap tempat yang disinggahinya baginda akan meninggalkan seorang putera kepada ketua suku kaum asli di situ dengan pesanan bila putera itu sudah dewasa kelak hendaklah di jadikan penghulu di tempat itu.

Kesemua Ketua kaum asli itu menepati janji mereka. Apabila putera Batin Terjali sudah besar maka dilantik menjadi Penghulu. Dengan ini wujudlah pemerintahan dari putera-putera Batin Terjali. Datok Niko Menteri Shah Mangku Alam Raja Sehari menjadi penghulu di Jelebu, Datok Kelana Putera Penghulu di Sungai Ujung dan Datok Johan Pahlawan Lela Perkasa di Johol. Hubungan antara mereka terus terjalin dan daerah itu akhirnya menjadi tumpuan orang-orang Minangkabau.

Walaupun begitu, dalam senarai daftar nama penghulu di Jelebu, orang pertama dicatat namanya sebagai penghulu Jelebu ialah Datok Gombak, kemudian Datok Mentunggang dan diikuti oleh Datok Moyang Salleh.

Datok Moyang Salleh merupakan Datuk Undang Luak Jelebu yang pertama dengan memakai gelaran Datok Mendelika Menteri Akhirul Zaman Sultan Jelebu. Gelaran itu dikurniakan oleh Sultan Johor iaitu Sultan Abdul Jalil semasa berlakunya peristiwa memutus tali ke Johor. Walau bagaimana pun Datok Moyang Salleh tidak melantik dirinya sebagai Sultan Jelebu dan beliau hanya menjadi Undang Luak Jelebu sahaja.

Pada mulanya Jelebu berada di bawah pemerintahan kerajaan Melayu Melaka tetapi apabila Sultan Melaka berpindah ke Johor maka taat setia orang Jelebu beralih ke Johor. Cuma setelah berlakunya peristiwa "MOYANG SALLEH MEMUTUS TALI KE JOHOR" barulah Jelebu bebas dari kekuasaan Sultan Johor.

Jelebu juga terkenal sebagai kawasan lindungan hujan kerana letaknya di dataran tinggi dan jarang menerima hujan berbanding kawasan lain di Negeri Sembilan. Kerana itu tanahnya subur dan terkenal dengan pengeluaran buah-buah tempatan.

Jelebu juga sering di kunjungi para pelancung dari dalam dan luar negeri kerana keunikannya. Untuk sampai ke Jelebu terpaksa mendaki Bukit Tangga yang mempunyai 48 keluk. Dan antara tempat yang menjadi tumpuan pelancung di Jelebu ialah Jeram Toi, Jeram Gading, Latar Kijang, Masjid Kuala Dulang dan Makam Datok Moyang Salleh.

Tuesday, January 25, 2005

MASJID KUALA DULANG


Batin Lambung Setia Raja ialah seorang Pawang Besar yang berasal dari Pahang, Syah Alam Raja Sehari pula ialah seorang tukang tilik yang handal berasal dari Pagar Ruyung, Minangkabau. Keduanya sama-sama mengembara untuk membuka negeri. Setelah jauh mereka berjalan, secara kebetulan mereka bertemu di suatu tempat bernama Bukit Buaiyan. Keduanya berhenti di situ untuik berehat.

Setelah bertegur sapa dan berkenalan masing-masing cuba menunjukkan kehandalan. Batin lambung Setia Raja membaca jampi menteranya dan sebaik sahaja jampi menteranya habis dibaca, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya hingga membasahi pakaian Syah Alam Raja Sehari. Syah Alam tersenyum lalu membuka ilmu tiliknya. Tiba-tiba hujan yang turun dengan lebatnya itu berhenti dan matahari memancar terik sehingga berupaya mengeringkan pakaiannya.

" Nampaknya kita memiliki ilmu yang sama handalnya. Oleh sebab itu, hamba fikir lebih baik kita berdamai sahaja," kata Syah Raja Sehari.

" Benar kata tuan hamba. Tidak ada faedahnya kalau kita berkelahi. Lagipun tujuan kita datang ke sini untuk membuka negeri, bukannya untuk berperang," balas Batin Lambung Setia Raja pula.

" Hamba hanya boleh membuka negeri apabila terjumpa sedulang nasi. Begitulah pesan ayahanda hamba," kata Syah Alam Raja Sehari.

" Ayahanda hamba juga berpesan begitu. Hamba akan terus berjalan mencari tempat yang ada sedulang nasi," balas Batin lambung Setia Raja.

Mendengarkan itu, Syah Alam Raja Sehari berasa marah. Kedua-duanya mula bertengkar kerana masing-masing menyangka dipermainkan. Pertengkaran mereka semakin hebat sehingga hampir mencetuskan perkelahian.

Tiba-tiba mereka terdengar suara perempuan sedang menyanyi menyebabkan pertengkaran itu terhenti. Mereka begitu terpesona mendengar kemerduan si penyanyi itu.

Batin lambung Setia bersuara, " Hamba fikir elok kita cari dari mana datangnya suara perempuan itu. Hantukah dia atau manusia?".

Syah Alam Raja Sehari mengangguk-ngangguk seraya melirik senyuman. Kemudian dia menokok. " kalau dia manusia kita jadikan isteri tapi kalau hantu atau jembalang biar hamba yang menghalaunya dari sini."

" Mari kita gunakan kepandaian masing-masing," cadang Batin lambung Setia Raja.

" Biar hamba dulu," kata Syah Alam Raja Sehari lalu menggunakan ilmu tiliknya. " Hmm…Perempuan itu berada dalam rumpun buluh di lembah sana."

" Ayuh mari kita sama-sama mencarinya," balas Batin Lambung Setia Raja.

Batin Lambung Setia Raja dan Syah Alam Raja Sehari sama-sama turun ke lembah itu. Di situ mereka dapati ada serumpun buluh dan suara perempuan itu memang datang dari dalam rumpun buluh itu.

" Baik kita tebang dahulu buluh-buluh itu. Mungkin perempuan itu sedang bersembunyi di dalamnya," cadang Syah Alam Raja Sehari.

" Elok juga cadangan tuan hamba itu," balas Batin Lambung Setia Raja.

Lalu keduanya menebang pokok-pokok buluh itu. Sebaik sahaja habis buluh-buluh itu ditebang, mereka terlihat seorang perempuan sedang duduk bersila di tengah-tengah bekas rumpun buluh itu. Dan di hadapan perempuan itu terdapat sedulang nasi. Batin Lambung Setia Raja dan Syah Alam Raja Sehari berpandangan.

" Siapakah kamu wahai peremluan muda?. Adakah kamu ini manusia seperti kami atau dewa-dewa?" tanya Batin Lambung Setia Raja.

" Hamba adalah manusia seperti kamu. Ayahanda hamba yang menyuruh hamba datang ke sini membawa sedulang nasi," jawab perempuan muda itu.

Kemudian perempuan itu menoleh lalu terlihatlah oleh mereka wajah perempuan itu yang cantik bak purnama sedang mengambang penuh.

Batin Lambung Setia Raja dan Syah Alam Raja Sehari sangat terpikat dengan kecantikan paras rupa perempuan itu. Sekali lagi mereka bertengkar kerana masing-masing ingin menjadikannya isteri.

" Hamba yang sepatutnya memiliki perempuan itu kerana hamba yang meniliknya. Kalau tidak hamba yang meniliknya kita tidak tahu di mana perempuan itu bersembunyi," tegas Syah Alam Raja Sehari.

‘ Tidak! Hambalah yang wajar memilikinya kerana ilmu pawang hambalah yang dapat menghalau hantu yang menjadi penunggu rumpun buluh ini," pintas Batin Lambung Setia Raja pula.

Masing-masing tidak mahu mengaku kalah lalu mula berkelahi. Melihat keadaan itu maka perempuan itupun berkata:

" Dengar dulu kata-kata hamba. Tuan berdua jangan berkelahi kerana sebenarnya kita ini adik-beradik. Kamu berdua tidak boleh mengahwini hamba," kata perempuan itu.

Kedua dua lelaki itu tercengang dan saling berpandangan. " Siapakah kamu ini?" tanya kedua-dua lelaki itu hampir serentak.

" Nama beta Puteri Bongsu, Puteri raja berdarah putih, bertekak hitam dan berbulu roma songsang. Saudara beta ialah Datuk Hulubalang Misai Beruban dan Datuk Hitam," jawab perempuan itu.

Mendengar kata-kata perempuan itu barulah masing-masing sedar mereka adik beradik.

Sebenarnya mereka bertiga telah dipisahkan oleh ayah mereka semasa mereka masih kecil. Abang yang tua dibawa ke Pagar Ruyung untuk menuntut ilmu pawang. Adiknya yang tengah dihantar ke Pahang untuk mempelajari ilmu tilik manakala adik perempuan yang bongsu disuruh menunggu kepulangan abang-abangnya dengan membawa sedulang nasi.

" Rupa-rupanya kita bertiga adik beradik. Oleh sebab itu kita tidak boleh berkahwin ataupun berkelahi. Kita sepatutnya bersyukur kerana pertemuan ini," kata Syah Alam Raja Sehari.

" Benar seperti kata kekanda kita yang tua itu. Kalau kita berkelahi kelak akan disesali oleh anak cucu kita," kata Puteri Bongsu.

" Jadi apa yang patut kita buat?" tanya Batin Lambung Setia Raja.

" Kita buka negeri di sini dan buatkan tempat kediaman kita," kata Puteri Bongsu.

Lalu mereka bertiga pun membuka negeri dan membuat sebuah istana sebagai tempat kediaman. Tempat itu mereka namakan nasi sedulang. Tetapi akhirnya bertukar menjadi " Kuala Dulang". Tidak lama kemudian Puteri Bongsu berkahwin dengan seorang pemuda pilihannya dan mereka dikurniakan dua orang anak perempuan. Mereka ialah Moyang Angut dan Moyang Angsa yang menjadi pengasas Jelebu.

Semakin hari semakin ramai orang Minangkabau datang ke Kuala Dulang. Orang-orang Minangkabau itu kemudiannya telah mendirikan sebuah masjid di tepi Sungai Teriang dan masjid itu dinamakan " Masjid Kuala Dulang". Tidak jauh dari masjid itu terdapat sebuah lagi sungai bernama Sungai Lumut.

Wednesday, January 12, 2005

KISAH DATO' MOYANG SALLEH


DATO' MOYANG SALLEH MEMUTUS TALI KE JOHOR


Pada suatu ketika dahulu, daerah Jelebu di Negeri Sembilan berada di bawah pemerintahan Sultan Johor. Kononnya baginda seorang yang zalim dan tingkah laku baginda tidak disenangi oleh Datok Penghulu Jelebu.
Datok Uban iaitu Penghulu Rembau mempunyai seorang anak gadis yang cantik bernama Seri Banun. Bila Sultan Johor mendapat tahu kecantikan gadis itu maka baginda menghantar utusan tapi pinangan baginda ditolak sebab Seri Banun sudah bertunang dengan seorang pemuda bernama Si Amat.
Sultan JOhor murka lalu memerintahkan Datok Penghulu Rembau datang mengadap tetapi beliau enggan sebaliknya menyuruh Si Amat iaitu tunang Seri Banun ke Johor sebagai pengganti. Baginda Sultan merasa terhina lalu bertanya kepada Si Amat kenapa hasrat baginda hendak mengahwini Seri Banun di tolak.
" Ampun, Tuanku. Seri Banun itu tunang patik," sembah Si Ahmad.
" Putuskan pertunangan kamu!" titah sultan.
" Ampun Tuanku," sembah Si Amat. " Patik tidak sanggup mungkir janji sebab sekali kita mungkir janji seumur hidup orang tidak akan percaya."
Baginda bertambah murka lalu memerintahkan Si Amat di bunuh. Pengawal istana segera menghayunkan pedangnya ke leher Si Amat tetapi senjata itu tidak melukainya kerana Si Amat memiliki ilmu kebal.
" Tuanku," kata Si Amat." Patik ini anak pembesar. Mengikut adat anak pembesar tidak boleh dibunuh. Tetapi kalau tuanku nak bunuh juga maka gunakan keris patik dan tikamkan ke rusuk sebelah kiri patik."
Mendengar itu lalu Sultan mencabut keris Si Amat lalu menikam rusuknya dan dengan sekali tikaman saja maka Si Amat pun mati. Datok Penghulu Rembau merasa amat sedih dengan kematian Si Amat akibat di bunuh oleh Sultan JOhor. Maka beliau pun mengadukan hal tersebut kepada Moyang Salleh Datok Penghulu Jelebu.
Moyang Salleh turut merasa simpati dengan kematian Si Amat dan beliau bersetuju mengadap sultan Johor untuk bertanya kenapa pembunuhan itu dilakukan oleh baginda.
Maka Moyang Salleh pun bertolak ke JOhor dengan membawa empat orang pengiringnya iaitu Tok Gagah Lela Perkasa, Tok Laut Api, Tok Beruang Hitam, dan Tok Bauk. Dan mereka mempunyai kegagahan dan kesaktian masing-masing.
Apabila sampai di Johor baginda Sultan tidak menerima mereka mengadap malah disuruh berdiri di halaman istana sahaja. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati Moyang Salleh dan pengiringnya tambahan pula beliau pembesar tanah jajahan sultan.
Tiba-tiba langit gelap menandakan hujan lebat akan turun. Sultan yang duduk di anjung istana bersama pengiring hanya memerhatikan sahaja tanpa mempelawa naik ke istana. Baginda seolah sengaja hendak membiarkan utusan dari tanah jajahan itu basah kuyup di halaman istana.
Apabila hujan turun maka Moyang Salleh membuka destarnya lalu melambungkan ke atas dan tiba-tiba destar itu bertukar menjadi payung. Dengan ini mereka berlima tidak basah.
Kemudian pengiring-pengiring Datok MOyang Salleh pula menunjukkan kehebatan masing-masing. Datok Gagah Lela Perkasa menggarukan belakangnya pada batang kelapa yang tumbuh di halaman istana menyebabkan buah- buah kelapa yang masak berguguran jatuh ke tanah.
Tok Beruang Hitam pula menunjukkan kekuatan tangannya dengan mencakar dinding istana hingga tercabut. Manakala Tok Laut Api pula bila menghembuskan nafasnya keluar api hampir membakar langsir istana.
Sultan Johor merasa hairan melihat kejadian itu sekaligus merasa tercabar seolah Moyang Salleh dan para pengiringnya sengaja hendak menunjuk kehandalan di depan baginda.
" Beta mahu kamu tunjukkan pula kehandalan kamu kepada mereka," titah Sultan kepada pembesar istana.
" Ampun Tuanku," sembah Datok Bendahara. " Setahu patik tidak ada sesiapa di negeri Johor ini mempunyai ilmu setanding dengan mereka."
Sultan terdiam sambil berfikir. " Kalau bagitu benarkan meraka mengadap." titah baginda.
Datok Bendahara menjemput Moyang Salleh dan para pengiringnya naik ke istana mengadap Sultan tetapi mereka mengenakan syarat mesti disediakan jamuan kerana mereka merasa amat lapar.
" Sediakan nasi lima puluh gantang dan lauknya seekor kerbau," kata Moyang Salleh.
" Makanan sebanyak itu biasanya untuk seratus orang," kata Datok Bendahara hairan.
" Jika baginda setuju kami akan naik ke istana tapi jika tidak setuju biarkan kami di sini sahaja," kata Moyang Salleh pula.
Mahu tidak mahu Sultan terpaksa menerima syarat itu kerana bimbang utusan dari Jelebu itu bertindak liar. Dan apabila jamuan sudah disediakan makan Moyang Salleh dan para pengiringnya naik ke istana.
Sekali lagi Sultan Johor dan pembesar-pembesar istana hairan bila mendapati makanan yang mereka hidangkan habis di makan oleh Moyang Salleh dan para pengiringnya.
" Benarkan mereka mengadap beta kemudian suruh balik segera ke Jelebu," tutah Sultan Johor.
" Beginikah cara tuanku melayan pembesar tanah jajahan?" tanya Moyang Salleh sebaik sahaja mengadap Sultan.
" Apa maksud kalian datang ke Johor tanpa diundang?" tanya Sultan pula.
Oleh kerana terlalu marah dan merasa terhina dengan sikap Sultan maka Moyang Salleh lupa tujuan asalnya datang ke Johor. Apa yang terlintas dalam fikirannya ialah tidak mahu bertuankan Sultan yang tidak betimbang rasa.
" Patik datang untuk memutuskan tali dengan Johor. Mulai hari ini Jelebu merdeka dari pemerintahan tuanku," kata Moyang Salleh.
" Beta tak setuju!" titah Sultan.
" Alamat negeri Johor akan huru hara kami kerjakan. Akan berlaku pertumpahan darah di bumi Johor ini," kata Moyang Salleh pula.
Kerana bimbang dengan tindak balas Moyang Salleh dan para pengiringnya akhirnya Sultan Johor bersetuju walaupun berat hati baginda melepaskan Jelebu keluar dari tanah jajahan baginda.
Baginda menganugerahkan Moyang Salleh cap mohor sebagai pemerintah " Bergajah Tunggal" dengan membawa gelaran Datuk Mendalika Akhir Zaman Sultan Jelebu.

Kemudian baginda Sultan menyuruh Datok Moyang Salleh dan para pengiringnya meninggalkan Johor dengan segera. Semasa turun dari istana Datok Moyang Salleh mencabut pedangnya lalu dicantasnya tempayan yang terletak di tepi tangga balairong. Kerana tajamnya mata pedang Datok MOyang Salleh dan tetakannya yang kuat maka tempayan itu putus dua, tetapi masih tegak seperti biasa seolah tidak nampak bekas cantasan mata pedang pada tempayan itu.
" Selagi tempayan ini putus maka selagi itulah hubungan antara Jelebu dengan Johor akan putus," kata Datok Moyang Salleh lalu meninggalkan istana Sultan JOhor.



Tuesday, January 11, 2005

ISTIADAT PERLANTIKAN

11 Januari 2005 Kuala Klawang;
Hari ini bertempat di Balai Undang Luak Jelebu telah diadakan istiadat perlantikan Dato’ Imbi dan Dato’ Maharaja Inda.
YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Haji Musa b Wahab Undang Luak Jelebu telah berkenan untuk menyempurnakan perlantikan tersebut.
Untuk jawatan Dato’ Umbi telah disandang oleh Kadin bin Kidam dari perut Larong Tengah manakala Dato’ Maharaja Inda disandang oleh Darus bin Dusak dari perut Kemin.
Keluarga dari kedua perut turut hadir dalam istiadat tersebut.