PERSATUAN SEJARAH JELEBU

Tuesday, January 25, 2005

MASJID KUALA DULANG


Batin Lambung Setia Raja ialah seorang Pawang Besar yang berasal dari Pahang, Syah Alam Raja Sehari pula ialah seorang tukang tilik yang handal berasal dari Pagar Ruyung, Minangkabau. Keduanya sama-sama mengembara untuk membuka negeri. Setelah jauh mereka berjalan, secara kebetulan mereka bertemu di suatu tempat bernama Bukit Buaiyan. Keduanya berhenti di situ untuik berehat.

Setelah bertegur sapa dan berkenalan masing-masing cuba menunjukkan kehandalan. Batin lambung Setia Raja membaca jampi menteranya dan sebaik sahaja jampi menteranya habis dibaca, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya hingga membasahi pakaian Syah Alam Raja Sehari. Syah Alam tersenyum lalu membuka ilmu tiliknya. Tiba-tiba hujan yang turun dengan lebatnya itu berhenti dan matahari memancar terik sehingga berupaya mengeringkan pakaiannya.

" Nampaknya kita memiliki ilmu yang sama handalnya. Oleh sebab itu, hamba fikir lebih baik kita berdamai sahaja," kata Syah Raja Sehari.

" Benar kata tuan hamba. Tidak ada faedahnya kalau kita berkelahi. Lagipun tujuan kita datang ke sini untuk membuka negeri, bukannya untuk berperang," balas Batin Lambung Setia Raja pula.

" Hamba hanya boleh membuka negeri apabila terjumpa sedulang nasi. Begitulah pesan ayahanda hamba," kata Syah Alam Raja Sehari.

" Ayahanda hamba juga berpesan begitu. Hamba akan terus berjalan mencari tempat yang ada sedulang nasi," balas Batin lambung Setia Raja.

Mendengarkan itu, Syah Alam Raja Sehari berasa marah. Kedua-duanya mula bertengkar kerana masing-masing menyangka dipermainkan. Pertengkaran mereka semakin hebat sehingga hampir mencetuskan perkelahian.

Tiba-tiba mereka terdengar suara perempuan sedang menyanyi menyebabkan pertengkaran itu terhenti. Mereka begitu terpesona mendengar kemerduan si penyanyi itu.

Batin lambung Setia bersuara, " Hamba fikir elok kita cari dari mana datangnya suara perempuan itu. Hantukah dia atau manusia?".

Syah Alam Raja Sehari mengangguk-ngangguk seraya melirik senyuman. Kemudian dia menokok. " kalau dia manusia kita jadikan isteri tapi kalau hantu atau jembalang biar hamba yang menghalaunya dari sini."

" Mari kita gunakan kepandaian masing-masing," cadang Batin lambung Setia Raja.

" Biar hamba dulu," kata Syah Alam Raja Sehari lalu menggunakan ilmu tiliknya. " Hmm…Perempuan itu berada dalam rumpun buluh di lembah sana."

" Ayuh mari kita sama-sama mencarinya," balas Batin Lambung Setia Raja.

Batin Lambung Setia Raja dan Syah Alam Raja Sehari sama-sama turun ke lembah itu. Di situ mereka dapati ada serumpun buluh dan suara perempuan itu memang datang dari dalam rumpun buluh itu.

" Baik kita tebang dahulu buluh-buluh itu. Mungkin perempuan itu sedang bersembunyi di dalamnya," cadang Syah Alam Raja Sehari.

" Elok juga cadangan tuan hamba itu," balas Batin Lambung Setia Raja.

Lalu keduanya menebang pokok-pokok buluh itu. Sebaik sahaja habis buluh-buluh itu ditebang, mereka terlihat seorang perempuan sedang duduk bersila di tengah-tengah bekas rumpun buluh itu. Dan di hadapan perempuan itu terdapat sedulang nasi. Batin Lambung Setia Raja dan Syah Alam Raja Sehari berpandangan.

" Siapakah kamu wahai peremluan muda?. Adakah kamu ini manusia seperti kami atau dewa-dewa?" tanya Batin Lambung Setia Raja.

" Hamba adalah manusia seperti kamu. Ayahanda hamba yang menyuruh hamba datang ke sini membawa sedulang nasi," jawab perempuan muda itu.

Kemudian perempuan itu menoleh lalu terlihatlah oleh mereka wajah perempuan itu yang cantik bak purnama sedang mengambang penuh.

Batin Lambung Setia Raja dan Syah Alam Raja Sehari sangat terpikat dengan kecantikan paras rupa perempuan itu. Sekali lagi mereka bertengkar kerana masing-masing ingin menjadikannya isteri.

" Hamba yang sepatutnya memiliki perempuan itu kerana hamba yang meniliknya. Kalau tidak hamba yang meniliknya kita tidak tahu di mana perempuan itu bersembunyi," tegas Syah Alam Raja Sehari.

‘ Tidak! Hambalah yang wajar memilikinya kerana ilmu pawang hambalah yang dapat menghalau hantu yang menjadi penunggu rumpun buluh ini," pintas Batin Lambung Setia Raja pula.

Masing-masing tidak mahu mengaku kalah lalu mula berkelahi. Melihat keadaan itu maka perempuan itupun berkata:

" Dengar dulu kata-kata hamba. Tuan berdua jangan berkelahi kerana sebenarnya kita ini adik-beradik. Kamu berdua tidak boleh mengahwini hamba," kata perempuan itu.

Kedua dua lelaki itu tercengang dan saling berpandangan. " Siapakah kamu ini?" tanya kedua-dua lelaki itu hampir serentak.

" Nama beta Puteri Bongsu, Puteri raja berdarah putih, bertekak hitam dan berbulu roma songsang. Saudara beta ialah Datuk Hulubalang Misai Beruban dan Datuk Hitam," jawab perempuan itu.

Mendengar kata-kata perempuan itu barulah masing-masing sedar mereka adik beradik.

Sebenarnya mereka bertiga telah dipisahkan oleh ayah mereka semasa mereka masih kecil. Abang yang tua dibawa ke Pagar Ruyung untuk menuntut ilmu pawang. Adiknya yang tengah dihantar ke Pahang untuk mempelajari ilmu tilik manakala adik perempuan yang bongsu disuruh menunggu kepulangan abang-abangnya dengan membawa sedulang nasi.

" Rupa-rupanya kita bertiga adik beradik. Oleh sebab itu kita tidak boleh berkahwin ataupun berkelahi. Kita sepatutnya bersyukur kerana pertemuan ini," kata Syah Alam Raja Sehari.

" Benar seperti kata kekanda kita yang tua itu. Kalau kita berkelahi kelak akan disesali oleh anak cucu kita," kata Puteri Bongsu.

" Jadi apa yang patut kita buat?" tanya Batin Lambung Setia Raja.

" Kita buka negeri di sini dan buatkan tempat kediaman kita," kata Puteri Bongsu.

Lalu mereka bertiga pun membuka negeri dan membuat sebuah istana sebagai tempat kediaman. Tempat itu mereka namakan nasi sedulang. Tetapi akhirnya bertukar menjadi " Kuala Dulang". Tidak lama kemudian Puteri Bongsu berkahwin dengan seorang pemuda pilihannya dan mereka dikurniakan dua orang anak perempuan. Mereka ialah Moyang Angut dan Moyang Angsa yang menjadi pengasas Jelebu.

Semakin hari semakin ramai orang Minangkabau datang ke Kuala Dulang. Orang-orang Minangkabau itu kemudiannya telah mendirikan sebuah masjid di tepi Sungai Teriang dan masjid itu dinamakan " Masjid Kuala Dulang". Tidak jauh dari masjid itu terdapat sebuah lagi sungai bernama Sungai Lumut.

6 Comments:

  • At May 26, 2010 at 9:24 PM, Blogger Syed Zulnurin said…

    Salam,
    Saya berpendapat sejarah yg ingin di kongsi dibawah adalah lebih tepat dan jujur bagaimana menceritakan kewujudan Masjid Kuala Dulang. Kalau difikirkan logik akal, pada abad ke 16 hanya Ulama Besar yang mampu untuk mengislamkan penduduk tempatan dan membina sebuah masjid. Saya harap fakta ni dpt diperbetulkan.

    Satu ketika, kira-kira pada abad ke-16 masihi, Dato’ Gamboh atau Raja Khatib gelaran kepada Syed Ali Al-Jufri dan Dato’ Nika gelaran kepada Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad Al-Jufri merupakan Ulama yang terbilang dari Pagar Ruyong Minangkabau keluar ziarah untuk mengislamkan penduduk asli (tempatan) Ulu Pahang dan kawasan-kawasan sekitarnya dalam jajahan Kesultanan Johor Lama. Setelah mendapat izin perkenan dari Sultan Johor, Raja Khatib (Syed Ali Al-Jufri)dan Dato' Nika (Syed Abdul Rahman Al-Jufri) mengembara mengikut jalan Laut China Selatan, mudik di sungai Pahang, menyusur Sungai Teriang, lalu sampai ke tanah Jelebu.

    Di tempat bernama Juntai dia turun dari perahunya dan berdiri di atas hamparan pasir di tebing sungai (kini Kampung Pasir Panggil) lalu melaungkan azan menyeru orang di situ memeluk Islam. Orang yang menyahut seruan mereka berdua telah ikut mudik ke hulu sungai (kini meliputi Kampung-kampung dari Juntai, Petasih, Pergai, Solok Temoi, Peradong, Kuala Pah, Simpang Gelami, Relai, Kampai, Chenor, Jelin dan Bandar Tinggi) hingga sampai ke Kuala Lumut (kini Kampung Jelebu Tengah/Pekan Kuala Klawang). Di Kuala Lumut ia berjumpa Waris Biduanda Tua, seorang perempuan bernama Moyang Angsa dan mengislamkannya.

    Di Kuala Dulang yang dianggap kawasan keramat di tanah Jelebu (kini dikenali tebing sungai Kampung Peninjau) mereka mendirikan sebuah bangsal beratap ijuk sebagai tempat berteduh dan markas mengajar orang-orang biduanda di sekitar kawasan itu mendalami ilmu Islam.

    Bangsal beratap ijuk ini mempunyai kisah yang penuh misteri kerana berlaku kehadiran dulang berisi sajian makanan yang tidak diketahui siapa menghidangkannya. Walau seramai mana pun jemaah yang hadir untuk belajar tentang agama Islam di bangsal itu, makanan yang sedia terhidang itu sentiasa cukup untuk semua jemaah tanpa perlu ditambah. Kejadian ini berlarutan sehinggalah Raja Khatib telah habis mudik sehingga jauh ke Ulu Jelebu (kini meliputi Kampung-kampung Chepam, Guntong, Bukit, Kelembang dan Ulu Jelebu) dan seluruh kawasan Ulu Kelawang (kini meliputi Kampung-kampung Batu Piatu, Binjai, Tembon, Kemin, Tanjong, Jambatan Serong, Lalang, Batu Serambai, Batu Seremban, Renal, Bukit, Pengenting, Tanjong Berangan, Tanjong Chacha, Kelaka, Sg. Gunong Daun, Rambai Baris, Batu Tangga dan Ulu Kelawang), dan telah mengislamkan orang-orang biduanda di seluruh kawasan tersebut.

    Menurut orang tua-tua tanah Jelebu, Bangsal Beratap Ijuk itulah bangunan asal Masjid Kuala Dulang yang merupakan masjid tertua di Tanah Jelebu. Ia diasaskan oleh Ulamak terbilang iaitu Syed Ali Al-Jufri (Raja Khatib) dan Syed Abdul Rahman Al-Jufri (Dato’ Nika) iaitu zaman awal Islam tersebar di tanah Jelebu ini. Tapaknya terletak di atas tebing sungai Kampung Peninjau, kira-kira lima kilometer dari Pekan Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan.

     
  • At March 18, 2012 at 7:39 PM, Blogger Ibnu manaf said…

    Batin lambung setia,kemudiannya dikenali sebagai batin mahagalang

    P.bongsu jg dikenali sbgai mayng mgurai anak angkat kpd batin b'changgai besi

    Ad individu yg pernah ke pagaruyung,beliau b'jaya mngesan kewujudan batin mahagalang

    Mungkin bg sesetengah pihak cerita di atas sekadar 'folktale'

    Hurm....apa fungsi perstuan sjarah jlebu sbenarny?

    Sekitar tahun 90' kajian mngenai silsilah d jlankn oleh seorng graduan ukm,mlahn prof khoo t'libt dlam kjian sjarah jlebu.nma baton terjali,maharaja alif ad disebutkn dlam kjian t'sebut

    Sayng rasanya,klau p'satuan ni tak buat kjian silsilah.ad bnyak klebihn klau d buat kjian.

    Pihak tuan m'punyai 'link' yg kuat,iaitu DS Rais sendri

    Akhir kata,gunakn segala ruang yg ad.d luar sana m'jlankn kjian,tp sumber@link terhad/ti ada

    Jdi,mreka buat bnyak spekulasi tentang jelebu

    Bekerja sepertimana nama Persatuan Sejarah Jeleb...assalam

     
  • At June 5, 2016 at 8:49 AM, Blogger Den Yusuf said…

    naikkan Undang Jelebu secepat mungkin !!! naikkan Sultan Mendalika Akhir Zaman yg sah ...

     
  • At December 2, 2017 at 7:22 PM, Blogger Unknown said…

    yang buat blog dan mengkomenkan auta lebih.kami ni keturunan tok khatib dan tok nika.tok nika adalah perempuan adik beradik kepada tok khatib yang berasal dari sala sila raja pagar ruyung.kalau dah berasal dari pagar ruyung mana ada pakai syed ke said.pagar ruyung rakyatnya adalah minangkabau.raja pemerintah adalah orang rawa.keturunan kami pemerintah,penyebar dan menegakkan islam.tok nika dan tok khatib dari pagar ruyung singgah ke pahang berjumpa keturunannya Raja Ahmad Tun Berdarah Puteh.selepas itu pergi ke masjid kuala dulang menyebarkan islam.janganla kamu pandai2 mereka sejarah.tolongla refer kepada fakta.

     
  • At February 20, 2019 at 7:05 AM, Blogger Unknown said…

    Seeloknya yang ingin memberi komen atau pendapat berdasarkan fakta seeloknya membuat rujukan terlebih dahulu agar komen yang diberi lebih logik
    Menurut Syed Zulnurin, Dato’ Gamboh atau Raja Khatib gelaran kepada Syed Ali Al-Jufri dan Dato’ Nika gelaran kepada Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad Al-Jufri
    Mengikut Sejarah Undang Jelebu Dt Syed Ali Aljufri dilantik menjadi Undang Luak Jelebu yg Ke 11, pada tahun 1883 sedangkan kedatangan Islam ke Jelebu yang dibawa oleh Raja Khatib dan Dato Nika pada Kurun Ke 16.

     
  • At September 20, 2022 at 6:59 PM, Blogger Anak Solomak Pahang said…

    Tuan² yg komen di sini, tolong email atau hubungi kami utk penyusunan sejarah berkaitan. Email : tiadat@gmail.my

     

Post a Comment

<< Home